PRN Johor; Calon BN Juga Tidak Yakini PH Tunai Janji

23
Datoo Azman kiri, Awang dua dari kiri

Walaupun mempunyai ikatan politik di peringkat Pusat dengan PH, calon BN di Simpang Jeram, Dato’ Azman Ismail dengan jelas menyatakan ketidak yakinan beliau terhadap PH untuk menunaikan janji-janji mereka jika sekiranya mereka menang di Johor nanti.

Menurut beliau, situasi politik di Johor agak berlainan berbanding dengan negeri lain yang mana beliau berkeyakinan tinggi yang rakyat Johor akan menolak PH dalam PRN kali ini atas alasan BN adalah kerajaan asal bersendirian sebelum ikatan politik di pusat dimeterai antara PH dan BN.

Namun begitu, beliau tetap menyeru semua parti yang tidak sukakan PH agar tidak memandang rendah keupayaan PH dalam PRN kali ini walaupun tiada isu besar yang mampu dibawa oleh mereka.

“Saya yakinlah negeri Johor ini insyaallah rakyat akan menolak dia oranglah. Sebab apa, apa yang kita lihat janji-janji banyak yang mereka tak tunaikan.

So di Johor ini kita berbeza, kita asalpun Kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan Perpaduan terbina selepas PRU. Jadi di Johor ini tetap BN, 40 seats kita menang.

Yalah, dalam pertandingan ini, kita tidak boleh perkecilkan juga PH,” ujar beliau.

Beliau ditemui selepas program solat subuh berjemaah di Surau Nur Al-Hidayah Kampung Kenangan Tun Dr. Ismail 1, Muar pagi tadi dan berkebetulan sama program dengan calon dari PN, Awang Arshed Yahya di lokasi yang sama.

Awang adalah rakan baik kepada Dato’ Azman dan mereka kelihatan sangat ceria berbual mesra bersama jemaah surau, bergambar bersama dan keduanya disambut tanpa ada perbezaan, walaupun berlainan parti.

Dato’ Azman juga menyambut baik seruan Presiden PAS untuk ahli-ahli PAS memberikan undi mereka kepada calon BN di Dun yang tidak ditandingi PN, dengan tangan terbuka.
Bagi beliau sikap baik dalam berkempen ini yang ditunjukkan oleh pimpinan kedua-dua parti mesti menjadi ikutan kepada para penyokong bawahan bagi menjadikan kempen PRN kali ini lebih bermakna tanpa provokasi yang melampau dari semua pihak.

Bersetuju dengan saranan itu, calon PN, Awang turut menyeru agar kempen yang matang dan sejahtera diamalkan bagi menjaga hubungan antara masyarakat dan membiarkan fakta bercakap bagi menentukan siapa yang lebih layak untuk diangkat oleh pengundi, bukan berdasarkan emosi dan dendam.