KUALA TERENGGANU, – Lebih 20,000 ekor mati, pengusaha akuakultur ikan baung Mohd Muhafizi bin Mustafa mengalami kerugian mencecah RM150,000.
Timbalan Yang DiPertua PAS Marang, Dato’ Ariffin Deraman amat bersimpati dengan musibah yang menimpa usahawan itu dan memaklumkan kepada agensi-agensi berkaitan supaya siasatan serta tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Saya telah menziarahi seorang penternak ikan sungai Mohd Muhafizi di Kampung Beladau Kepong dan melihat sendiri,


“keadaan sangkar ternakannya yang dipenuhi bangkai ikan baung akibat kejadian kematian ikan secara mengejut.” ujarnya selepas melawat kawasan penternakan ikan itu semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat itu menambah, kejadian yang berlaku pada Ahad lalu dipercayai akibat fenomena air sungai surut dan ketiadaan arus.


“Kejadian yang menimpa Mohd Muhafizi ini bukan sahaja memberi kesan kepada sumber pendapatan keluarga, malah menjejaskan usaha gigih yang telah dibina sejak sekian lama.
“Insya-Allah, perkara ini akan diberi perhatian dan saya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, di samping meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian.” tegas beliau.


Justeru beliau berharap Mohd Muhafizi dan keluarga terus diberikan ketabahan menghadapi ujian ini serta dipermudahkan segala urusan.
“Mudah-mudahan Allah SWT menggantikan setiap kehilangan dengan rezeki yang lebih baik.” kata Ariffin






























