PAS memandang serius kenyataan balas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Penasihat Dasar kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua, terhadap titah dan nasihat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkait keutamaan sikap menghormati asas-asas perlembagaan negara, memelihara keharmonian kaum dan melindungi sensitiviti yang menyatukan masyarakat kita yang pelbagai.
Titah baginda hendaklah difahami dalam konteks luas melalui lensa semangat tanggungjawab kebangsaan dan sikap sederhana agar semua pihak tidak bertindak atau membuat kenyataan yang boleh memarakkan sentimen perkauman, menghakis kerukunan sosial atau melemahkan rasa hormat terhadap institusi institusi teras, asas sejarah dan jati diri kebangsaan yang menjadi tonggak pembinaan negara.
Respons tidak cermat Tony Pua terhadap titah tersebut malangnya semakin meningkatkan
keresahan awam, sekali gus mencetuskan kontroversi baharu yang tidak perlu pada saat suhu ketegangan kaum dan agama dalam masyarakat sudah sedia tinggi.
PAS percaya apa-apa respons atau kenyataan melibatkan institusi Raja-raja Melayu hendaklah dibuat dengan penuh hati-hati, adab dan kehormatan yang setanding dengan status dan peranan perlembagaan, sejarah dan budaya yang dimainkan oleh DYMM Raja-raja sebagai tonggak kestabilan dan kedaulatan negara dalam kerangka sistem demokrasi Malaysia.
Episod terbaru ini tidak boleh dilihat secara terpisah dan berasingan daripada perkembangan luas yang menyaksikan meningkatnya pertikaian awam yang memecah kerukunan melibatkan pelbagai isu, termasuk pengiktirafan sijil UEC, penggunaan Bahasa Cina pada dokumen rasmi kerajaan, penternakan babi di Selangor, selain perdebatan mengenai perlembagaan, dasar-
dasar kerajaan, Bahasa Kebangsaan, dasar dan falsafah pendidikan kebangsaan, selain isu-isu agama dan kaum.
Dalam pada itu, sikap menolak atau mempersoalkan titah dan nasihat Diraja dengan berselindung di sebalik kedaulatan perlembagaan atau tafsiran konsep raja berperlembagaan apabila ia tidak sesuai dengan selera dan kepentingan kita, tetapi menerima dan menjunjungnya apabila ia selari dengan kehendak sendiri hanya mendedahkan sifat hipokrit dan oportunis seseorang, bukan membuktikan patriotisme atau sikap hormat kepada undang-undang dan kedaulatannya.
Secara terpisah, isu-isu ini mungkin boleh dianggap dan ditangani sebagai isu pentadbiran atau pendekatan, namun apabila ia diperdebatkan dalam persekitaran yang sarat emosi, konfrontatif dan dipolitikkan, maka secara kumulatif ia akan menyumbang kepada meningkatnya keresahan awam, menurunnya rasa saling percaya dan semakin meruncingkan polarisasi sedia ada.
PAS percaya sesebuah kerajaan, terutama pemimpinnya, bukan sahaja perlu mentadbir
dengan cekap dan berkesan, tetapi juga perlu dilihat berkemampuan mempertahan kestabilan sosial, menarik kepercayaan awam dan meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada pertimbangan-pertimbangan partisan.
Pada saat negara berdepan dengan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global, Malaysia
memerlukan kepimpinan yang menyuburkan keyakinan serta kepercayaan awam, bukannya
yang meledakkan kontroversi demi kontroversi tidak perlu mungkin kerana keterdesakan politik, kegagalan mengawal emosi atau ketumpulan kesedaran mengenai sejarah panjang negara ini dan ciri-ciri khas masyarakatnya.
Terima kasih.
Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 21 MEI 2026


























