Bersempena dengan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang akan bermula esok, saya ingin mengalu-alukan kedatangan semua tetamu dari dalam dan luar negara serta seluruh penduduk Negeri Terengganu ke program ini. Semoga kehadiran anda semua menambahkan lagi keberkatan di negeri ini.
Program yang bertemakan “Satu Ummah” ini bertujuan untuk memperkukuh agenda perpaduan ummah ke seluruh Alam Melayu yang merupakan keperluan mendesak bagi menghadapi cabaran sosial, ekonomi dan geopolitik yang semakin tidak menentu pada masa kini.
Agenda perpaduan ummah ini bersifat inklusif, meliputi perpaduan dalam kalangan umat Islam yang bertunjangkan keimanan serta perpaduan merentas kaum dan agama yang berpaksikan kemanusiaan. Nilai keadilan, kesederhanaan, kedamaian dan kebenaran yang bersumberkan hukum syarak dan selari dengan maqasid syariah mesti menjadi panduan dan pegangan semua demi meraih kesejahteraan yang sebenar.
Kepimpinan yang tidak amanah, kelonggaran pegangan dengan ajaran Islam, pertelingkahan mengenai perkara cabang dalam agama, ekstremisme agama dan kaum, penyebaran fitnah dan berita palsu serta adu domba pihak luar adalah unsur-unsur yang akan merosakkan perpaduan ummah justeru mesti ditangani secara lebih menyeluruh dan dengan lebih berkesan.
Mengakhiri kenyataan ini, sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan untuk mengajak anda semua ke program ini yang menampilkan YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (Mantan Naib Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia), TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi (Duta Besar Iran ke Malaysia) dan Dr. Zakir Naik (Pendakwah Antarabangsa). Acara kemuncak bagi program ini iaitu Pidato Penyatuan Ummah yang akan diadakan pada 4 April 2026 bermula pukul 9:00 malam pula turut membariskan para pemimpin dan tokoh daripada pelbagai aliran pertubuhan antaranya:
1. YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu / Pengerusi Perikatan Nasional)
2. YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Hj. Mohd Nassuruddin Hj. Daud (Menteri Besar Kelantan)
3. YB Datuk Mohd Radzi Md Jidin (Naib Presiden BERSATU)
4. YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin (Ketua Pembangkang)
5. Dato’ Seri Utama Hj. Mukhriz Tun Dr. Mahathir (Presiden PEJUANG)
6. Ustaz Zamani Ibrahim (Presiden BERJASA)
7. YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu)
8. Tuan Hj. Aminuddin Yahaya (Pengerusi Gabungan Nasionalis)
9. Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa (Presiden Muafakat Nasional)
Semoga program ini dapat mencerahkan lagi hala tuju dan menggerakkan ummah untuk kebaikan sejagat. Insya-Allah.
Sekian.
YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Pesurujaya III PAS Terengganu,
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu,
Pengarah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026.
Tarikh: 1 April 2026 / 12 Syawal 1447




























