KUALA TERENGGANU – Sebanyak 316 syarikat di negeri Terengganu kini memiliki Sijil Halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), meliputi pelbagai kategori termasuk produk makanan, barang gunaan, kosmetik, OEM dan rumah sembelih.
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, jumlah itu menunjukkan komitmen berterusan usahawan tempatan terhadap jaminan halal, namun masih banyak ruang untuk diperkasakan bagi menjadikan Terengganu sebagai hab halal serantau.
“Daripada jumlah itu, kategori produk makanan mencatatkan bilangan tertinggi sebanyak 178 syarikat, diikuti premis makanan (91 syarikat) dan pengilangan kontrak (22 syarikat).
“Ini menunjukkan sektor pemprosesan makanan halal kekal menjadi penyumbang utama,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata demikian, ketika menjawab soalan ADUN Ladang YB Hajah Zuraida binti Mohd Noor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.


Tambahnya, Daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi pemegang sijil halal dengan 77 syarikat, diikuti Dungun (48) dan Marang serta Kuala Nerus masing-masing 35 syarikat.
Justeru, bagi memperkasa ekosistem halal negeri, kata beliau, Bahagian Pengurusan Halal JHEAT giat melaksanakan Klinik My e-Halal di setiap daerah selain bekerjasama dengan agensi seperti YPU, RISDA dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memudah cara proses permohonan.
Menurut beliau, syarikat yang ingin memohon perlu memenuhi 12 syarat utama, antaranya berdaftar secara sah, memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan dan beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum permohonan.
Ariffin turut menggalakkan lebih ramai pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mengambil inisiatif mendapatkan pensijilan halal bagi meningkatkan kredibiliti produk dan akses pasaran lebih luas, terutama menjelang pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal Negeri Terengganu yang sedang dirangka.
“Pensijilan halal bukan sahaja tuntutan syarak, tetapi peluang besar ekonomi yang boleh melonjakkan jenama usahawan tempatan ke peringkat global,” katanya.





























