Masjid Dan Madrasah Dilabel Sarang Pengganas

141

Masjid atau madrasah ialah rumah Allah yang menjadi tempat ibadat atau tempat mengambil ilmu Allah dan kalam-Nya Yang Maha Rahmat, maka masjid menjadi tempat yang aman serta paling selamat daripada bencana dan bahaya. Tiba-tiba, masjid difitnahkan dengan jenama yang buruk, iaitu jenama sarang pengganas dan pelampau. Allah menamakan mereka yang menghalang manusia daripada menuju ke masjid kerana ingat akan Allah sebagai paling zalim.

Firman Allah SWT:

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ أَن يُذۡكَرَ فِيهَا ٱسۡمُهُۥ وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ مَا كَانَ لَهُمۡ أَن يَدۡخُلُوهَآ إِلَّا خَآئِفِينَۚ لَهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا خِزۡيٞ وَلَهُمۡ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١١٤

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang-halangi daripada menyebut nama Allah di dalam masjid-masjid-Nya dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat.” [Surah al-Baqarah: 114]

Sebab ayat ini diwahyukan pada awalnya ditujukan kepada para pemimpin Makkah yang memusuhi Rasulullah SAW, manusia pilihan Allah yang paling mulia dan orang-orang yang beriman kerana melakukan ibadat kepada Allah di Masjid al-Haram, Makkah yang aman dan dihormati. Tindakan menghalang ini juga pernah dilakukan terhadap Masjid al-Aqsa pada zaman dahulu, sehingga tempat yang mulia itu dicemari dan dijadikan tempat pembuangan sampah.

Allah mentafsirkan ibadat yang menjadi tujuan utama manusia diciptakan Allah ialah golongan yang memakmurkan masjid daripada kalangan yang disifatkan oleh Allah sebagai melaksanakan Islam dalam segala aspeknya yang sempurna, meliputi rohani, jasmani, dan harta. Mereka juga menyampaikan Islam kepada manusia kerana takut akan perintah Allah jika tidak melaksanakan dengan hidayah-Nya, yang semuanya berpusat di masjid.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٨

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah. Maka, merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Tawbah: 18]

Mereka itu ialah orang-orang soleh yang mentaati Allah dengan jasad, roh, dan harta daripada kalangan manusia terbaik dalam hubungan dengan Allah dan hubungan dengan sesama manusia yang bermasyarakat. Maka, masjid ialah tempat manusia terbaik pilihan Allah bagi menegakkan Islam dengan bertaqwa kepada Allah; sifat yang menentukan martabat manusia.

Oleh sebab itu, Allah melabelkan mereka yang melarang daripada memakmurkan masjid atau melakukan gangguan terhadapnya adalah paling zalim. Mereka juga diberikan amaran keras akan menerima balasan yang buruk pada Hari Kiamat nanti kerana menghalang manusia melalui jalan Allah.

Betapa pentingnya masjid sehingga Rasulullah SAW menjadikan masjid sebagai pembangunan pertama apabila berhijrah ke Madinah. Masjid dimakmurkan sebagai pusat pentadbiran negara Islam yang menyebarkan cahaya Islam dan keadilannya kepada seluruh manusia. Maka, masjid menjadi pusat segala amal soleh.

Masjid bukan sahaja sebagai tempat solat berjemaah setiap waktu, bahkan menjadi tempat solat mingguan bagi menyampaikan khutbah nasihat dan pengajaran yang baik, di samping menjadi tempat pelantikan ketua negara bagi menyampaikan ucapan dasar serta menyampaikan perkara yang penting dan arahan yang besar, demi menyelamatkan manusia dengan petunjuk Allah.

Maka, mereka yang menyekat kegiatannya dianggap sebagai golongan paling zalim yang besar dosanya.

Masjid kini menjadi sasaran dalam isu Islamofobia, istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi terhadap Islam dan Muslim. Islamofobia mula digunakan oleh penjajah perosak kehidupan dunia pada tahun 1980-an, tetapi menjadi popular selepas peristiwa serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Bandar Raya New York pada 11 September 2001.

Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai “rasa takut dan benci terhadap Islam, lalu membawa kepada ketakutan dan ketidaksukaan kepada orang Islam,” sambil menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam secara mengasingkan mereka daripada kegiatan politik, ekonomi, sosial, dan lain-lain kehidupan bermasyarakat yang menjadi sifat fitrah (bersih semula jadi) kepada manusia.

Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah daripada nilai Barat, dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama. Itulah anggapan yang diberikan oleh manusia Barat yang kini merosakkan kerana mengheret manusia bersifat nafsu kebinatangan, walaupun berakal.

Fitnah ini dimasukkan ke dalam negara Islam sendiri melalui serangan pemikiran rancangan penjajah yang menyesatkan kefahaman umat Islam terhadap agama mereka, bersama ideologi sekularisme yang memisahkan cara hidup daripada ajaran Islam yang sempurna. Maka, kegiatan masjid menjadi sasaran fitnah mereka sekiranya melaksanakan kegiatan yang lebih daripada sembahyang berjemaah, sehingga ada yang digunakan hanya untuk solat Jumaat sekali seminggu.

Media sosial memainkan peranan yang besar dalam usaha membantu mengubah naratif mengenai Islamofobia.

Tindakan ini dapat dibaca dengan perhitungan yang adil terhadapnya yang melaporkan semua perkara yang baik dan buruk untuk mengelirukan pemikiran masyarakat dengan menjadi kosmetik bagi menopengi wajahnya yang sebenar, iaitu musuh Islam, bahkan ada yang menjadi lidah kerajaan yang sesat.

Segenap anggota masyarakat merupakan sebahagian daripada rangkaian untuk membina komuniti yang lebih inklusif bagi menamatkan Islamofobia. Media baharu seperti Internet boleh digunakan untuk komunikasi serta penyampaian mesej secara berterusan dan berkesan.

Pertumbuhan media sosial telah menyelubungi penduduk dalam talian negara dengan penciptaan Facebook, Twitter, LinkedIn, YouTube, TikTok, blog dan lain-lain. Penggunaan media sosial telah menjadi fenomena masyarakat, khususnya dalam kalangan orang muda sama ada mendatangkan manfaat ataupun sebaliknya. Antara isu yang mempunyai unsur-unsur pengaruh Islamofobia ialah seperti berikut:

• Penghinaan terhadap agama Islam yang mulia daripada Allah.
• Isu pendakwah yang memberikan petunjuk yang benar kepada orang ramai.
• Penggunaan kalimah Allah Yang Maha Agung.
• Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, manusia pilihan Allah.

Di sini menunjukkan pembelaan terhadap kalangan yang murtad secara terbuka oleh pihak media yang terkenal tugasan mereka yang wajib dikenali oleh umat Islam menjadi suara Pakatan Harapan.

Mereka membesar-besarkan berita negatif segelintir agamawan, padahal kesan paling besar ialah gejala sosial daripada kegagalan sistem pelajaran dan pendidikan negara sehingga berlaku pada peringkat sekolah, bukan sahaja masyarakat umum.

Sambutan kepada prasekolah seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang bersifat Islamik, sekolah agama, madrasah, sekolah tahfiz, dan pondok menunjukkan ketidakpercayaan terhadap sistem pelajaran dan pendidikan negara oleh kebanyakan yang terpaksa demi menyelamatkan anak-anak.

Maka, gejala Islamofobia yang menyerang masjid dan sekolah agama dilaksanakan bagi meneruskan undang-undang pengawalan kegiatan agama sebagaimana cadangan para orientalis, khususnya orientalis Belanda yang terkenal, Christiaan Snouck Hurgronje yang berpura-pura memeluk Islam di Indonesia.

Teori pengawalan kegiatan agama Snouck Hurgronje hanyalah untuk mengawal kegiatan agama, yang dikenali sebagai ‘Politik Islam Hindia Belanda’ bertujuan merosakkan wajah Islam dengan memisahkan ajaran Islam menjadi tiga kategori yang berbeza untuk kepentingan penjajahan. Tujuannya ialah mengendalikan potensi penentangan daripada umat Islam tanpa perlu menekan aspek-aspek agama yang murni.

Tiga kategori dalam politik Islam Snouck Hurgronje ialah seperti berikut:

1. Bidang agama murni dan ibadat: Kategori ini mencakupi urusan ritual keagamaan seperti solat, puasa, dan haji. Menurut Snouck, aspek ini harus diizinkan berjalan bebas tanpa campur tangan pemerintah kolonial. Hal ini dilakukan untuk menghindari penentangan berasaskan agama daripada umat Muslim yang taat, bahkan kerajaan berpura-pura memberikan sumbangan.

2. Bidang sosial dan kemasyarakatan: Kategori ini mencakupi adat istiadat, perkahwinan, perceraian, dan hukum-hakam Islam lain yang berkaitan dengan kehidupan sosial. Pemerintah kolonial perlu memberikan pengawasan dan intervensi terbatas, namun tidak menekan sepenuhnya. Hal ini bertujuan mempertahankan kawalan kolonial terhadap masyarakat tanpa menciptakan konflik yang besar.

Kegiatan ini diteruskan oleh negara merdeka yang diuruskan oleh penjajah.

3. Bidang politik: Kategori ini ialah aspek yang paling dikhuatirkan oleh pemerintah kolonial. Snouck menganggap ajaran Islam yang menginspirasikan penentangan terhadap penjajahan sebagai ‘doktrin politik’ yang berbahaya dan harus ditumpaskan. Semua manifestasi Islam yang bersifat politik atau berpotensi membahayakan kekuasaan kolonial mesti ditindak tegas.

Bagi menerapkan teorinya, Snouck menyarankan beberapa strategi:

• Pemisahan agama dan politik: Dengan memisahkan urusan ibadat daripada politik, pemerintah dapat memencilkan ulama’ atau tokoh yang menyebarkan sentimen antipenjajah.

• Pengendalian perjalanan haji: Pemerintah kolonial menerapkan peraturan yang ketat terhadap orang yang akan menunaikan ibadat haji, kerana haji dapat memicu semangat pan-Islamisme dan kesatuan antara umat Islam untuk melawan penjajah.

• Kerjasama dengan elit peribumi: Snouck menyarankan untuk bekerjasama dengan pemimpin tradisional yang prokolonial seperti pemimpin masyarakat, imam masjid, dan penghulu yang pernah menjadi alat untuk melemahkan pengaruh ulama’ yang menentang penjajah. Maka, pusat aktiviti Islam daripada masjid tetap menjadi sasaran utama.

• Operasi ketenteraan selektif: Menyarankan agar operasi ketenteraan menyasarkan ulama’ atau kegiatan Islam yang berpotensi banyak bermula dari masjid dan madrasah dalam memimpin penentangan, sambil meyakinkan masyarakat Muslim biasa bahawa penjajah tidak menentang. Bahkan, masjid dan madrasah dibantu dengan membina bangunan yang indah-indah, namun tetap diganggu tugas untuk memakmurkannya mengikut petunjuk Allah yang sebenar.

Kini, peranan penjajah diambil alih oleh kerajaan yang menggantinya dengan berperanan menentang kebangkitan semula umat Islam. Tugas diberikan kepada jabatan agama atau ketua agama seperti zaman penjajahan, walaupun kita sudah merdeka. Langkahnya bertujuan mengawal kegiatan agama yang dianggap membahayakan keselamatan negara mengikut gelombang Islamofobia yang dicanangkan oleh Barat yang pernah menjajah.

Tambahan pula, Islamofobia turut dilakukan terhadap Islam di negara Barat, mengaitkannya dengan kehadiran orang Islam yang meningkat di negara Barat dan berdirinya banyak masjid dan pusat kegiatan Islam.

Pada bulan Mei 2002, European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia (EUMC), satu pertubuhan pemantau Kesatuan Eropah mengeluarkan laporan bertajuk ‘Summary Report on Islamophobia in the EU after 11 September 2001’ (Ringkasan Laporan mengenai Islamofobia di Kesatuan Eropah selepas 11 September 2001), yang menggambarkan peningkatan insiden berkaitan Islamofobia di negara Eropah selepas 11 September 2001.

Satu forum pada tahun 2001, ‘Stockholm International Forum on Combating Intolerance’ pula mengisytiharkan satu deklarasi yang antara lainnya meletakkan Islamofobia sebagai sesuatu yang melanggar nilai-nilai asas manusia, di samping rasisme, diskriminasi kaum, antisemitisme, xenofobia, diskriminasi, keganasan, dan pembunuhan kerana orientasi seks, serta apa-apa jua bentuk sikap tidak toleransi, melanggar nilai-nilai asas manusia, dan mengancam kebebasan masyarakat.

Kemudian, berlakunya serangan ganas terhadap masjid, pusat Islam, dan pengunjungnya. Teladannya pula diikuti oleh beberapa negara Islam sendiri, khususnya terhadap mereka yang ditugaskan oleh pengurusan untuk memakmurkannya. Maka, beberapa langkah sumbang dilakukan terhadap masjid dan pusat pengajian Islam sehingga peringkat prasekolah, bukan sekadar terhadap peringkat yang lebih tinggi.

Allah menempelak para pemimpin Makkah pada zaman jahiliah yang banyak menyumbangkan harta dalam pembangunan Masjid Makkah dan menjamu para jemaah yang menjadi tetamu pada musim haji, tetapi pada masa yang sama menentang kegiatan menegakkan Islam dan meninggikan ajarannya oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Firman Allah SWT:

۞أَجَعَلۡتُمۡ سِقَايَةَ ٱلۡحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ كَمَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَجَٰهَدَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ لَا يَسۡتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٩

“Adakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjid al-Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” [Surah al-Tawbah: 19]

Mereka yang menyekat perkembangan Islam dan perjuangannya yang difitnah dengan ganas dan melampau tetap disenaraikan sebagai zalim, walaupun besar sumbangan harta mereka serta berpura-pura menjalankan kegiatan kebajikan yang menempel dengan meluruskan telunjuk, tetapi kelengkengnya berkait.

Kenalilah siapa musuh Islam yang menjadi syaitan dan bala tenteranya. Firman Allah SWT:

۞أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٦٠ وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٦١ وَلَقَدۡ أَضَلَّ مِنكُمۡ جِبِلّٗا كَثِيرًاۖ أَفَلَمۡ تَكُونُواْ تَعۡقِلُونَ ٦٢

“Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu, wahai bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya, syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu. (60) Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (61) Sesungguhnya, syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar antaramu. Maka, adakah kamu tidak memikirkan? (62)” [Surah Yasin: 60–62]

Pengenalannya dapat dilihat dengan nyata apabila syaitan besar sebagai tuannya disambut dengan permaidani merah, lebih meriah daripada menyambut rajanya sendiri. Raja dan rakyat ditipu, sementara tuannya, syaitan besar diampu, sehingga menyerahkan harta negara laksana lembu susu yang menyerahkan semua susu kepada tuannya dengan upah seguni rumput bagi mengisi perut untuk dikunyah semula pada waktu tidur malam. Gunakanlah lampu suluh, lihatlah gelagat lembu yang mengunyah rumput pada waktu malam dalam keadaan memejam mata ketiduran.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 8 Jumada al-Ula 1447 / 30 Oktober 2025

[Bil: 76 / 2025]