Bom Zionis Tidak Meletup Ancam Nyawa Ketika Gaza Membersihkan Serpihan

92

Pembinaan semula di Gaza menghadapi rintangan daripada bom zionis Israel yang tidak meletup, mengancam nyawa penduduk dan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk mengesan dan membersihkannya.

Pengarah Timur Tengah di HALO Trust di United Kingdom Nicholas Torbet berkata, Gaza pada dasarnya adalah sebuah bandar gergasi di mana setiap bahagian telah terkena bahan letupan.

“Sesetengah peluru direka untuk bertahan lama, tetapi apa yang kami bimbangkan di Gaza ialah persenjataan yang dijangka meletup apabila terkena hentaman tetapi tidak,” katanya kepada Al Jazeera.

Beliau menambah, kerja-kerja pembersihan bahan letupan memperlahankan proses pembinaan semula Gaza.

Oleh itu, kata beliau, pasukannya merancang untuk bekerja secara langsung dalam komuniti untuk membuang bom dengan selamat daripada menanda kawasan yang luas selama-lamanya.

“Cara terbaik untuk melupuskan bom adalah dengan menggunakan sedikit bahan letupan untuk meletupkanya,” jelasnya.

Torbet berkata, peralatan yang diperlukan agak mudah dan boleh diangkut dengan kenderaan kecil atau dengan tangan, dan kemajuan mula berlaku.

Menurutnya, skala bahan letupan yang digugurkan oleh Israel telah menyebabkan Gaza dipenuhi dengan sisa-sisa yang membawa maut.

Mengulas isu sama, Jurucakap Pertahanan Awam Palestin Mahmoud Basal berkata, zionis Israel menjatuhkan sekurang-kurangnya 200,000 tan bahan letupan di wilayah itu, dengan kira-kira 70,000 tan gagal meletup.

Menurut Datuk Bandar Gaza Datuk Bandar Yahya al-Sarraj, sekatan Israel terhadap kemasukan jentera berat melumpuhkan usaha Bandar Gaza untuk membersihkan serpihan dan membina semula infrastruktur kritikal.

Dalam sidang akhbar pada Ahad, Yahya berkata, puluhan ribu tan bom Israel yang tidak meletup mengancam nyawa di seluruh Semenanjung Gaza.

“Bandar Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 250 kenderaan berat dan 1,000 tan simen untuk menyelenggara rangkaian air dan membina telaga.” kata beliau.