PAS Yakin Angin Perubahan Politik di Sabah, PN Sedia Tawar Wadah Baharu

316

KUALA TERENGGANU – PAS optimis rakyat Sabah kini mahu melihat perubahan politik menyeluruh dan meyakini Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan menjadi medan penting untuk membawa negeri itu ke arah lebih baik melalui wadah Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pesuruhjaya PAS iii, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PAS akan menyertai PRN Sabah bersama-sama PN dengan bertanding beberapa kerusi yang akan ditentukan oleh PAS Pusat.

“Kita melihat angin perubahan daripada rakyat Sabah sendiri yang mahu melihat satu perubahan politik yang total, bukan lagi kepada BN yang sudah terlalu lama melalui fasa pemerintahan di Sabah,

“termasuk PH yang walaupun memerintah tidak sampai sepenggal tetapi telah menunjukkan banyak kegagalan dalam mengurus negara,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM berkata demikian dalam siding media selepas Bengkel Pemantapan PEMADAM negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadu Islam, semalam.

Menurutnya, PN hadir dengan agenda membawa Sabah ke arah lebih baik daripada sebelum ini.

Selain itu beliau turut menjelaskan mengenai jawatan yang dilantik oleh peringkat pimpinan samada pusat ataupun negeri yang mana beliau menegaskan perjuangan PAS dilakukan secara kolektif dan bukannya bersandarkan individu atau jawatan tertentu.

“Bagi kita, jawatan hanyalah amanah dan tanggungjawab. Yang penting ialah kita bekerja secara jamaie, secara kolektif untuk menjayakan parti dan agenda kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.