Pemuda Gesa JKR Segera Baiki Jalan Runtuh

201

KUALA NERUS – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memantau dengan rapi serta mempercepatkan kerja-kerja pemulihan runtuhan jalan pantai di Batu Rakit yang berlaku semalam.

Ketua Penerangannya, Ustaz Mohd Ridhuan Abdul Karim berkata, insiden itu amat membimbangkan penduduk terutama dengan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Projek bernilai RM4.95 juta ini telah dilaporkan mencapai lebih 99 peratus kemajuan sebelum kejadian runtuhan sepanjang kira-kira 50 meter itu berlaku.

“Sebagai Pegawai Penguasa (S.O), JKR memikul tanggungjawab penuh untuk mengawasi segala kerja yang sedang dijalankan oleh kontraktor, memastikan setiap aspek menepati piawaian, spesifikasi dan jadual ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kontraktor pelaksana mesti segera melaksanakan kerja pengukuhan tambahan agar struktur jalan dan benteng pantai benar-benar kukuh menghadapi cabaran musim tengkujuh.

Katanya, isu berkenaan bukan perkara kecil kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya serta masyarakat sekitar.

“DPPNT akan terus memantau perkembangan projek ini dan memberi teguran membina demi kepentingan rakyat.

“Langkah pemulihan mesti disegerakan agar projek ini bukan sahaja siap dengan cepat, tetapi mampu bertahan lama dan selamat digunakan ketika musim tengkujuh yang semakin hampir,” tambahnya.